Pengenalan

Setiap tahun, ramai pelajar lepasan STPM yang berkelayakan gagal mendapat tempat ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Selain itu, terdapat ramai juga pelajar yang cemerlang gagal mendapatkan kursus yang dipilih. Ini merupakan satu tragedi kepada masa depan pelajar tersebut, terutamanya mereka yang datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan bagi menampung kos pendidikan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang amat tinggi. Perkara ini juga menyumbang kepada masalah pembaziran sumber manusia di negara ini. Kami berpendapat bahawa ini adalah satu ketidakadilan dan kami akan membantu pelajar-pelajar yang terperangkap dalam situasi ini.

Hakikat telah menunjukkan masalah ini berulang setiap tahun dan membuktikan bahawa UPU kelolaan Kementerian Pendidikan telah gagal menjalankan proses pemilihan kemasukan IPTA dengan cekap dan telus. Setakat ini tiada menteri yang sanggup mengambil tanggungjawab atas kegagalan UPU yang telah mengancam masa depan ribuan pelajar Malaysia.

Dalam soal pendidikan, Parti Keadilan Rakyat berpegang kepada prinsip “Keadilan untuk Semua”. Manifesto Pakatan Rakyat ketika PRU13 menjanjikan peluang pendidikan tinggi kepada semua yang layak dan pendidikan percuma. Walaupun Pakatan Rakyat gagal memasuki Putrajaya, kami tetap berpegang kepada idealisme tersebut.

Maka dengan ini, kami sekumpulan ahli-ahli Parlimen dan ADUN muda PKR telah menubuhkan sebuah pasukan yang disertai oleh sekumpulan anak muda untuk memantau proses kemasukan ke IPTA. Kami menggalakan semua pelajar yang tidak berpuas hati dengan sistem UPU agar menghantarkan aduan kepada kami melalui borang di laman web. Kami akan meneliti semua kes-kes yang dihantar dan mengenalpasti kes-kes yang kritikal untuk diberikan keutamaan.

Kami mematuhi 3 strategi utama:

  1. Pertemuan – bertemu dengan pihak UPU untuk mendapatkan penjelasan tentang sistem yang digunapakai
  2. Aduan – menyerlahkan kes-kes serius yang diterima daripada laman web ini (HEAP) kepada pihak UPU
  3. Perubahan – menganalisis data-data yang diterima dan mencadangkan reformasi kepada sistem yang rosak

Masalah yang sama telah berulang selama lebih daripada 20 tahun. Ini membuktikan kelemahan yang serius dalam sistem UPU. Sistem ini perlu diubah dengan segeranya.

Demi membantu pelajar-pelajar yang ingin mendapatkan bantuan kami, laman web ini telah dibuka kepada semua pelajar lepasan STPM/setaraf. Pelajar hanya perlu mengisikan borang aduan yang disediakan.

Tarikh tutup penghantaran aduan kepada kami adalah pada 22 Ogos 2016.

Semoga maju jaya.

p/s: Semua pelajar diingatkan supaya rayuan UPU adalah wajib dibuat sebelum 22 Ogos 2016 melalui laman web UPU. Rayuan kepada laman web HEAP ini adalah kaedah tambahan sahaja.